Menurut Siti Rosemynah Othman, kebanyakan wanita yang menghadapi masalah gila meroyan berpunca daripada keletihan dan tidak menjaga pantang.
Beliau berkata, penyakit ini memang biasa terjadi di kalangan ibu selepas bersalin jika mereka tidak dapat mengawal perasaan dan mengawal keadaan keliling.
“Bayangkan apabila bersalin kita bertarung berjam-jam untuk melahirkan satu nyawa ke dunia. Apabila badan letih, ditambah dengan tidak menjaga pemakanan sewaktu pantang, anak pula menangis tidak henti-henti, malam terpaksa berjaga kerana anak hendak menyusu, suami pula tidak membantu, memang seseorang itu tertekan,” katanya.
Gila meroyan tidak semestinya terjadi sebaik melahirkan anak tetapi mungkin beberapa hari atau beberapa minggu selepas itu. Malah gila meroyan juga boleh berlaku antara tiga hingga enam bulan selepas pantang.
“Ada dua jenis gila meroyan iaitu meroyan besar dan meroyan kecil.
Meroyan besar dikenali juga sebagai ‘depression’ dalam bahasa perubatan moden. Biasanya wanita yang mengalami meroyan besar tidak mengenali diri dan ahli keluarganya. Dia selalu merasakan anak yang dilahirkannya bukan anaknya,” kata Rosemynah.
Dalam keadaan itu, tidak mustahil si ibu sanggup membunuh anak sendiri!
Meroyan kecil pula, kata Rosemynah, membabitkan tekanan perasaan yang kecil misalnya dia berasa sedih dan menangis.
“Dalam dunia perubatan tradisional, kita juga percaya meroyan ini disebabkan makhluk halus. Darah yang keluar itu memang sangat disukai makhluk begini. Sebab itu ibu dalam pantang harus membasuhnya sebersih mungkin. Jika tidak makhluk halus suka pada darah itu,” katanya.
Katanya, dalam tempoh berpantang perkara paling penting selain menjaga pemakanan adalah berurut.
“Urut badan penting kerana ia memberi tubuh keselesaan. Wanita berpantang juga jangan abaikan pengambilan ubat-ubatan tradisional. Jangan pandang ringan segala pantang larang ketika berpantang. Kesannya mungkin tidak nampak sekarang tetapi dalam tempoh jangka panjang,” katanya.